Dari CURIOUS.

Apakah hukumnya penggunaan alkohol di dalam ubat-ubatan 

pada hari ini dan penggunaan gelatin?            

 

Jawapan

 

"Matinya seorang yang berilmu yang mengetahui halal dan haram adalah lebih tragis berbanding kematian seribu ahli ibadah (yang jahil) yang malamnya dipenuhi solat dan siangnya dengan puasa."
(Omar Al -Khattab)

 

CURIOUS yang dihormati.

 

Penglibatan di bidang Farmasi adalah dituntut oleh agama. Tahniah kepada CURIOUS kerana berada di bidang fardu kifayah ini. Satu di antara ilmu yang perlu dikuasai ialah tentang kaedah-kaedah yang berkaitan dengan halal dan haram. Memang benar di bidang perubatan moden, alkohol digunakan dalam sesetengah ubat. Sebagai contohnya, ubat batuk yang popular, Benadryl Expectorant, mempunyai 1.0% alkohol.

 

Secara dasarnya, Islam mengharamkan arak. Arak di dalam Al-Quran disebutkan sebagai ‘khamr’. ‘Khamr’ adalah apa-apa saja yang memabukkan.

"Setiap yang memabukkan adalah arak. Setiap
yang memabukkan adalah haram."
(Hadis - Muslim)

Arak tidak boleh dijadikan sebagai ubat dan penawar.

"Sesungguhnya (arak) bukanlah ubat, akan
tetapi ia adalah penyakit."
(Tarmuzi – Hasan Sahih)

Inilah hukum tentang penggunaan arak 100% tanpa campuran dengan bahan-bahan lain. Ulama berbeza pendapat tentang hukum penggunaan bahan yang boleh memabukkan setelah dicampurkan dengan bahan-bahan lain, sebagai contohnya, alkohol yang dicampurkan dengan bahan-bahan lain di dalam ubat. Alkohol itu dimasukkan dengan kadar yang sedikit dan digunakan bukan sebagai bahan aktif. Yang aktif ialah bahan-bahan ubatan yang lain. Syeikh Abdullah Nasih ‘Ulwan telah merumuskan pendapat ulama Islam dengan berkata di dalam 'Tarbiyatul Awlad:'

"Adapun sesetengah ubat yang terpaksa dicampurkan dengan alkohol kerana keperluan, adalah diharuskan, sekiranya diketahui bahawa sesuatu itu hanya boleh baik dengan menggunakannya."

Dr. Abdul Karim Zaidan telah menyebutkan di dalam 'Majmu'ah Buhuth Fiqhiah:'

"Terdapat ubat-ubatan yang dicampuri dengan bahan alkohol dan bahan-bahan yang memabukkan. Adakah harus kita mengambilnya ataupun tidak? Jawapannya: Pada ketika ditimpa kesakitan yang di tahap darurat, diharuskan dengan syarat-syarat yang telah ditetapkan. Adapun jika tidak sampai ke tahap darurat, tetapi wujud keperluan untuk menggunakan ubat itu, adakah ianya diharuskan juga? Yang zahir bagi saya ialah ianya diharuskan. Ini dikiaskan daripada apa yang telah difatwakan, sebagai contohnya oleh Al-Kasani di dalam ‘Al-Badai.’ "

Rumusannya, diharuskan mengambil ubatan (sebagai contohnya ubat batuk) yang dicampuri sedikit alkohol, dengan dos yang telah ditetapkan untuk penyakit-penyakit tertentu. Walau bagaimanapun, saintis Islam perlu terus berusaha untuk mencari alternatif yang lebih baik dan lebih selamat.

 

Berhubung dengan gelatin, ia adalah sejenis protin dari haiwan. Ia banyak digunakan di dalam perubatan moden (allopathy), contohnya dalam kapsul ubat-ubatan, dalam sebahagian vaksin dan lain-lain lagi. Gelatin dibahagikan kepada dua: gelatin jenis A yang dikeluarkan terutamanya dari khinzir (porcine) dan gelatin jenis B yang dikeluarkan terutamanya dari lembu (bovine). Lebih kurang 85% produk perubatan yang menggunakan gelatin, mengambilnya dari haiwan jenis lembu (Sumber Maklumat: FibroGen.) Bakinya adalah dari sumber haiwan yang lain, terutamanya, khinzir (porcine). Gelatin dari sumber bukan haiwan tidak begitu stabil untuk digunakan. Isu bagi umat Islam tentang gelatin ialah:

 

- Kesemua sumber gelatin hari ini adalah dari sumber haiwan.

- Ada gelatin yang diambil dari sumber khinzir. Daging khinzir secara

  dasarnya adalah haram dimakan.

- Yang dari sumber binatang yang halal dimakan, tidak dapat 

  dipastikan samaada sembelihannya dilakukan dengan cara yang 

  mengikut syariat atau sebaliknya. Bangkai, (termasuk binatang 

  halal yang disembelih dengan cara yang tidak mengikut syariat),

  adalah haram dimakan.

     

Jika dapat dipastikan bahawa bahan–bahan gelatin itu diambil dengan cara yang diizinkan syariat, atau dari keluaran negara-negara orang Islam dengan pengesahan yang rasmi, atau oleh syarikat-syarikat yang dikuasai oleh orang-orang Islam yang dipercayai, atau dari haiwan halal sembelihan ahli kitab, maka penggunaannya, secara dasarnya, adalah halal. Landasan yang menaungi pandangan ini ialah ayat 173 dari surah Al-Baqarah:

"Sesungguhnya diharamkan kepadamu bangkai, darah yang mengalir, daging babi dan apa yang disembelih untuk yang lain daripada Allah. Barangsiapa yang terpaksa (kerana keadaan darurat) tanpa sengaja, maka tidak ada dosa keatasnya."

Jika timbul keraguan tentang kehalalan sesuatu barangan, termasuk ubatan yang menggunakan gelatin, yang terbaik ialah menghindarinya serta menjauhi syubhat.

 

Seperkara yang perlu disebutkan ialah tentang keperluan kita melahirkan ramai lagi pakar-pakar sains Islam yang bertakwa, agar mereka dapat membuat kajian tentang aspek-aspek yang seperti ini, di samping mampu mengujudkan alternatif-alternatif yang selaras dengan kacamata syariat. Satu usaha yang baik yang telah dilakukan pada hari ini ialah mengeluarkan kapsul dari bahan BUKAN gelatin. Kapsul ini adalah dari bahan herba (vegetable), yang dipanggil ‘vegacap.’ Ia tidak mempunyai gelatin, kanji, dan bahan pengawet (Sumber Maklumat: Herbal Nutrition Centre.) Usaha-usaha yang seperti ini perlu dicontohi.

 

Muga-muga CURIOUS termasuk di dalam golongan saintis yang seperti ini.

 

Wassalam.

 

Dr. Danial

 

 

 


 

 

Copyright @ Dr. Danial Online, 2000-2001

Pulau Pinang, Malaysia.