Dari Student.

Saya mempunyai masalah untuk memberikan tumpuan kepada pelajaran dan seringkali tidak bermaya. Apakah yang perlu saya  lakukan?            

 

 

 

 

Jawapan 


 

"Orang mukmin yang gagah adalah lebih baik dan lebih Allah kasihi dari mukmin yang lemah." 
(Hadis Muslim)

 

Student yang dihormati. 

Anda seorang pelajar yang sudah memasuki lorong-lorong kejayaan. Anda telah berjaya melepasi tahun-tahun awalan dengan baik. Sebab itulah sekarang anda berada di tahun akhir. Alhamdulillah dan tahniah! 

Di sudut fizikal, ada penyakit-penyakit yang boleh menyebabkan kita lemah dan tidak bermaya, contohnya, kurang darah (anaemia), kencing manis, stress dan seumpamanya. Saya ingin mencadangkan agar anda mendapatkan pemeriksaan kesihatan dan nasihat dari doktor anda. 

Di samping itu ada beberapa nasihat tambahan yang hendak saya berikan. 

 


1- Awasi Makan Minum Anda


Lebihan karbohidrat (seperti nasi dan gula) pada masa tengahari, boleh menyebabkan keletihan di waktu petang. Karbohidrat mengeluarkan bahan serotonin dari otak yang boleh menyebabkan rasa mengantuk. Sebaliknya, protin pula akan mengawal kesan pengeluaran serotonin ini (Sumber Maklumat: Men’s Health.) Jadi makanlah secara sederhana dan seimbangkan di antara karbohidrat dan protin. Banyakkan sayur-sayuran. Sayur-sayuran mempunyai bahan serat yang mampu mengawal pengeluaran tenaga secara terkawal dan berterusan. Kecergasan anda banyak bergantung kepada apa yang anda makan dan minum.

 

2- Hormati 'Bio-rythm' Anda


Setiap insan mempunyai ‘pusingan biologi’ yang tersendiri. Ini diistilahkan sebagai 'bio-rythm.' Ia seperti jam di dalam badan seseorang. Ia tentukan masa rihat, masa tidur dan masa yang paling cergas bagi diri seseorang. Biasanya masa cergas kita ialah pada awal 1/3 di sebelah siang. Sebolehnya, berikan tumpuan anda untuk mengkaji pelajaran pada masa ini. Anda juga perlu menjadualkan masa tidur anda secara sistematik. Kesilapan ramai orang ialah pada hari-hari biasa, mereka bangun tidur mengikut jadual yang tertentu. Tetapi di hujung minggu mereka tidak lagi mengikut jadual itu dengan tidur secara berlebihan. Ini mengganggu sistem badan kerana ianya mengganggu pengeluaran hormon rangsangan yang bernama cortisol, yang mana pengeluarannya adalah dipengaruhi oleh waktu bangun tidur harian yang sistematik (Sumber Maklumat: Sleep Disorders & Research Center at Detroit’s Henry Ford Hospital.) Gangguan ini pastinya akan mengganggu kecergasan anda.

 

3- Tentukan Matlamat Hidup Anda


Pemain bolasepak sanggup bersusah-payah demi mendapatkan gol. Itulah contoh tentang kejelasan matlamat dan menjiwainya. Tentukan ‘gol’ anda. Jelas tentang halatuju akan meningkatkan minat, dan diri akan lebih terangsang. Minat juga dapat ditingkatkan dengan mengulangkaji pelajaran dengan rakan-rakan lain dengan melibatkan diri anda di dalam perbincangan. Ingatkan diri bahawa anda sudah pernah berjaya sebelum ini.

 

4- Beribadah Dan Berdoa


Ibadah tidak dapat dipisahkan daripada hidup kita. Firman Allah yang bermaksud: 

 

"Wahai mereka yang beriman, mintalah pertolongan kepada Allah dengan sabar dan solat. Sesungguhnya Allah bersama-sama dengan orang yang sabar." (Al-Baqarah: 153) 

 

Kejayaan kita ditentukan oleh Allah. Justeru itu banyakkanlah sujud dan berdoa kepadaNya. Allah tidak pernah menzalimi manusia.

 

Justeru itu, tumpukan perhatian kepada pencapaian dan kejayaan yang bakal diperolehi besuk, anda akan dapat menumpukan perhatian kepada tugas anda pada hari ini. Wassalam.

 

 

Dr. Danial

 

 


 

 

Copyright @ Dr. Danial Online, 2000-2001

Pulau Pinang, Malaysia.