Dari Keliru.

Saya banyak membaca bahan-bahan di Web yang mengatakan bahawa Islam menindas wanita-wanitanya, tidak seperti agama Yahudi dan Kristian. Saya keliru dan mula meragui ajaran-ajaran Islam. Tolonglah saya!!         

 

 

Jawapan

 

      "I often think that woman is more free in Islam than in Christianity. Woman is more protected by Islam than by the faith which preaches monogamy. In the Quran, the law about woman is more just and liberal. It is only (recently) that Christian England has recognised the right of woman to property, while Islam has allowed  this right from all times... It is a slander to say that Islam preaches that women have no souls."

 

("Saya berpandangan bahawa wanita Islam adalah lebih bebas daripada Kristian. Wanita lebih terpelihara di dalam Islam berbanding ajaran-ajaran lain yang menekankan monogami. Di dalam Quran, undang-undang tentang wanita adalah lebih adil dan terbuka. Hanya baru-baru ini sahaja undang-undang di England (Kristian) mengizinkan wanita memiliki harta sedangkan Islam telah mengizinkan perkara ini sejak awal lagi... Adalah suatu fitnah untuk sesiapa mengatakan bahawa Islam telah menganggap wanita sebagai makhluk tanpa roh (perasaan).")

 

(Mrs. Annie Besant di dalam 'The Life And Teachings of Muhammad')

 

 

Keliru yang dihormati.

 

'Tidak kenal maka tidak cinta.' Fitnah tentang Islam bukanlah suatu yang baru di dalam kehidupan ummah. Apa yang penting ialah umat Islam perlu mempermantapkan kefahaman mereka tentang Islam, berpandukan sumber-sumber yang sahih agar  fitnah akan dapat ditangkis dan kesemua isu akan dapat diletakkan di atas perspektifnya yang betul.

 

Benarkah ajaran-ajaran lain daripada Islam memertabatkan wanita? Tanpa bertujuan untuk menghina ajaran-ajaran lain, mari sama-sama kita kaji secara ilmiah,  falsafah dan konsep tentang wanita yang terkandung di dalam beberapa agama.

 

 

 

 

Wanita Mengikut Agama Yahudi (Judaism)

 

 

Di dalam Perjanjian Lama bab Ecclesiasticus 25:19 dan 24, wanita dianggap sebagai makhluk yang jelik.

 

"No wickedness comes anywhere near the wickedness of a woman...Sin began with a woman and thanks to her we all must die."

 

("Tidak ada kejelikan yang setanding dengan kejelikan wanita.. Dosa bermula daripadanya dan kerananya kita terpaksa menghadapi maut.")

 

Wanita keseluruhannya telah dikutuk oleh tuhan. Mengikut Leonard J. Swidler (1976) di dalam 'Women in Judaism: The Status of Women in Formative Judaism," pendita-pendita Yahudi (rabbis) telah menyebutkan tentang sembilan kutukan yang ditimpakan tuhan ke atas wanita:

  1. Bebanan haidh.

  2. Bebanan pendarahan dara.

  3. Bebanan mengandung.

  4. Bebanan melahirkan anak.

  5. Bebanan membesarkan anak.

  6. Bebanan menutup kepala seperti sedang berkabung.

  7. Bebanan menindik telinga seperti seorang hamba.

  8. Persaksiannya tidak boleh diterima.

  9. Bebanan menghadapi maut.

Golongan lelaki digalakkan bersyukur kerana mereka tidak dijadikan dari golongan wanita. Salah satu doa yang diajarkan di dalam kitab-kitab doa agama Yahudi, seperti yang telah disebutkan oleh Leonard J. Swidler (op.cit), ialah:

 

"Praised be God that he has not

created me a woman."

 

("Segala puji-pujian bagi tuhan yang tidak

menjadikan aku seorang wanita.")

 

Kelahiran seorang anak perempuan juga dianggap sebagai suatu kerugian kepada keluarga. Di dalam Ecclesiasticus 22:3, telah disebutkan:

 

"The birth of a daughter 

is a loss."

 

("Kelahiran seorang anak perempuan

adalah suatu kerugian.")

 

Memiliki anak-anak perempuan merupakan suatu bencana ke atas seseorang. Leonard J. Swidler telah menyebutkan tentang pendapat pendita-pendita Yahudi di dalam 'Women in Judaism: The Status of Women in Formative Judaism,' sebagai contohnya:

 

"It is well for those whose children are male

but ill for those whose are female."

 

("Adalah suatu yang baik bagi mereka yang mempunyai anak-anak lelaki dan bencana bagi yang mempunyai anak-anak perempuan.")

 

Di sudut ilmu, wanita Yahudi tidak diizinkan untuk mempelajari dan mengkaji kitab Torah. Di dalam 'Women in World Religions' di bahagian 'Judaism' karangan Denise L. Carmody, telah disebutkan tentang pendirian sebahagian pendita-pendita Yahudi berhubung dengan perkara ini:

 

"Whoever teaches his daughter Torah it is 

as though he taught her obscenity."

 

("Sesiapa yang mengajar Torah kepada anak perempuannya, 

dia seolah-olahnya telah mengajarnya sesuatu yang lucah.")

 

Wanita Yahudi juga tidak berhak untuk memiliki sebarang harta. Di dalam Talmud San. 71a, Git. 62a,  telah disebutkan:

 

"How can a woman have anything; whatever 

is hers belongs to her husband."

 

("Bagaimana seseorang wanita boleh memiliki apa-apapun; 

(kerana) apa saja yang milikinya adalah milik suaminya.")

 

 

 

 

Wanita Mengikut Agama Kristian

 

 

Hawa dianggap sebagai penyebab kepada kesalahan Adam, maka Hawalah yang dihukum  sebagai bersalah. Justeru itu wanita diarahkan agar sentiasa tunduk kepada lelaki. Di dalam Bible telah disebutkan tentang pesanan St. Paul di dalam 1 Timothy 2:11-14:

 

"A woman should learn in quietness and full submission. I don't permit a woman to teach or to have authority over a man; she must be silent. For Adam was formed first, then Eve. And Adam was not the one deceived; it was the woman who was deceived and become a sinner."

 

("Seorang wanita perlu belajar dalam keadaan mendiamkan diri, penuh ketundukan. Aku tidak mengizinkan seorang wanita mengajar dan menguasai suaminya. Kerana Adam diciptakan terlebih dahulu dari Hawa. Adam tidak terperdaya tetapi wanita itulah yang terperdaya dan berdosa.")

 

 

Dosa Hawa telah memberi kesan yang negatif kepada semua wanita. Di dalam Genesis 3:16, telah disebutkan:

 

"I will greatly increase your pains in childbearing; with pain you will give birth to children. Your desire will be for your husband, and he will rule 

over you."

 

("Aku akan tambahkan sakitmu ketika mengandung; dengan kesakitan juga kamu akan melahirkan anak-anak. Kehendak kamu hanyalah semata-mata untuk memuaskan suamimu, dan dia akan menguasaimu sepenuhnya."

 

Berbanding lelaki, wanita dipandang sebagai makhluk yang rendah.  Di dalam 1 Corinthians 14:34-35, disebutkan tentang peringatan dari St.Paul:

 

"Women should remain silent in the churches....For it is

disgraceful for a woman to speak in the church."

 

("Wanita sepatutnya mendiamkan diri ketika di dalam gereja...Adalah

suatu yang memalukan jika wanita bersuara di dalam gereja.")

 

Di sudut harta-benda seseorang isteri tidak boleh memiliki sebarang harta. Sebagai contoh, R. Thompson (1974) di dalam 'Women in Stuart England and America,' telah menyebutkan tentang  undang-undang keluarga 1632 di England, yang berteraskan ajaran Kristian. Di antara ketetapannya ialah:

 

 

"That which the husband hath is his own.

That which the wife hath is the husband's."

 

("Harta seseorang suami adalah miliknya. Harta

seseorang isteri adalah milik suaminya."

 

 

 

 

Wanita Mengikut Ajaran Islam

 

 

Hawa dan Nabi Adam dianggap sama-sama bersalah kerana mendekati pohon larangan. Hawa tidak dianggap sebagai punca kepada kesalahan Adam. Allah berfirman:

 

"Dan mereka berdua telah digelincirkan 

oleh syaitan dari syurga."

(Al-Baqarah 2:36)

 

 

Wanita dan lelaki adalah sama di sisi Allah. Wanita tidak dianggap sebagai makhluk keji. Allah berfirman:

 

"Barangsiapa yang mengerjakan amal solih baik dia lelaki ataupun perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami kurniakan kepada mereka kehidupan yang baik.." ( An-Nahl 16:97)

 

Kisah Firaun dan isterinya Asiah adalah satu contoh yang baik untuk memahami status lelaki dan perempuan di sisi Islam. Firaun, seorang lelaki, dikutuk oleh Allah kerana kekufurannya. Sebaliknya Asiah, seorang perempuan, dipuji kerana ketakwaannya. Allah berfirman:

 

"Dan Allah membuat isteri Firaun perumpamaan (yang baik) bagi orang-orang yang beriman.." (At-Tahrim 66:11)

 

Kelahiran anak perempuan tidak dianggap sebagi suatu bencana. Sikap menghina seseorang anak perempuan dianggap sebagai suatu tindakan yang keji di sisi Allah. Allah menegaskan:

 

"Dan apabila seseorang mereka digembirakan dengan kelahiran seorang anak perempuan, mukanya menjadi hitam kerana kemarahan........Alangkah buruknya apa yang mereka putuskan itu."

(An-Nahl 16:58)

 

Islam menekankan tentang pendidikan anak-anak perempuan. Berhubung dengan perkara ini Nabi telah bersabda:

 

"Barangsiapa yang mempunyai tiga anak perempuan, atau tiga saudara perempuan, ataupun dua anak atau saudara perempuan, kemudian dididik dan dilakukan kebaikan kepada mereka, maka baginya syurga." 

(Riwayat Tarmuzi dan Abu Daud)

 

Wanita mempunyai kekuatan dan potensi justeru itu mereka mempunyai peranan penting seperti lelaki, di dalam membina tamaddun.

 

"Orang-orang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka adalah penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.."(At-Taubah 9:71)

 

Wanita berhak untuk  memiliki harta benda dan adalah haram jika pihak suami mengambil harta isteri tanpa izinnya. Allah berfirman:

 

"Dan bagi lelaki ada hak bahagian dari harta peninggalan ibu bapa dan kaum kerabatnya, dan begitu juga bagi wanita ada hak dari harta-harta peninggalan itu......"(An-Nisa 4:7)

 

Jelas sekali bahawa agama Islam amat menghormati wanita. Islamlah agama yang paling adil dan saksama terhadap wanita. Namun jika masih terdapat di dalam masyarakat perbuatan orang-orang Islam yang tidak adil terhadap wanita, itu adalah kesalahan yang dilakukan oleh orang-orang Islam yang berkenaan yang sebenarnya jahil dan tidak menghayati ajaran Islam yang sebenarnya. Perbuatan mereka tidak dipandang baik oleh Islam.

 

Perlu juga disebutkan di sini tentang beberapa hakikat tambahan, iaitu, ketika mana Islam telah memertabatkan status wanita, wanita-wanita di Eropah masih terus dikotak-katikkan. Sebagai contoh, pada awal abad yang kesembilan belas, majoriti wanita di Eropah dan Amerika masih tidak memiliki hak berbanding suaminya, di sisi undang-undang. Seorang isteri tidak ada hak untuk ke mahkamah, tidak boleh memiliki harta, tidak boleh membuat sebarang wasiat dan jika berlaku masalah keluarga, anak tidak akan diletakkan di bawah penjagaannya! Status yang hina ini dikenali sebagai 'coverture.' (Rojokan: "Women’s Rights," Encarta Encyclopedia 2000)

 

Di Amerika, undang-undang yang mengizinkan wanita memiliki harta hanya mula diperbincangkan pada tahun 1830-an. Akta yang pertama tentangnya telah diluluskan pada tahun 1848 yang dikenali sebagai 'Married Women's Property Act.' (Rojokan: Encarta, Ibid)

 

Hak wanita untuk mendapatkan ilmu dan pendidikan juga tidak ditekankan di Eropah. Peluang pendidkan hanya menjadi lebih baik bagi wanita di era kebangkitan (Renaissance), pada abad kelimabelas. Itupun sekadar mengizinkan wanita mempelajari ilmu lukisan, muzik, jahit-menjahit, seni tarian dan ilmu puisi. Di sudut perbandingan, pada ketika itu Islam telah berjaya melahirkan ramai para ilmuan wanita yang menjadi tempat rujukan bagi orang-orang lain.

 

Muga-muga selepas ini Keliru jelas tentang konsep Islam berhubung dengan status wanita dan sekaligus tidak akan keliru lagi, insya Allah. (Buku Dr. Danial 'Islam Kontemporari Lagi Unggul' yang bakal diterbitkan akan membincangkan tentang aspek-aspek keunggulan ini secara yang lebih terperinci dan mendalam, insya Allah, muga-muga dapat dimanfaatkan.)

 

Wassalam.

 

Dr. Danial

 

 


 

 

Copyright @ Dr. Danial Online, 2000-2001

Pulau Pinang, Malaysia.