Dari Encik Rusman, Ipoh. Siapakah Wali Allah? Adakah mereka merupakan golongan yang boleh berjalan di atas air, terbang di udara dan mampu melakukan kepelikan-kepelikan?
|
Jawapan
Secara dasarnya wali-wali Allah bukanlah golongan yang boleh berjalan di atas air, terbang di udara dan mampu melakukan 1001 kepelikan-kepelikan. Sebaliknya mereka ialah golongan yang sentiasa mendekatkan diri kepada Allah serta tekun melaksanakan ibadah, menghiaskan diri dengan akhlak yang mulia, wara di dalam kehidupan dan kuat bermujahadah.
Memang ada beberapa kitab yang terdahulu, ketika menceritakan tentang jalan hidup wali-wali Allah, sering memaparkan tentang kisah-kisah yang pelik lagi luar biasa yang dilakukan oleh mereka, yang kadangkala tidak selari dengan landasan syariat. Asal-usul dan sumber kepada kisah-kisah ini memang diragui serta boleh dipertikaikan. Sebagai contoh di dalam kitab ‘Thabaqatul Auliya’ telah diceritakan tentang seorang wali yang bernama Sya’ban yang selalu bertelanjang dan sekadar menutup kemaluannya sahaja dengan kulit haiwan. Pernah juga diceritakan bahawa Syaikh Burhanuddin, seorang wali dari Sumatera Barat, sering memukul zakarnya pada sebuah batu dengan menggunakan batu yang lain, ketika syahwat mendatanginya! Lebih dahsyat dari itu ialah pendirian sesetengah golongan tasawwuf yang mendakwa bahawa kedudukan wali adalah lebih tinggi daripada Nabi. Di antara perkataan-perkataan mereka berhubung dengan perkara ini ialah: “Nabi menerima ilmu dengan perantaraan malaikat sedangkan wali menerimanya secara langsung daripada Allah.” (Hamka (1984); Tafsir Al-Azhar; juz 11 hal. 284)
Justeru itu, jalan yang paling selamat ialah dengan merujuk kepada Al-Quran dan juga As-Sunnah. Berkaitan dengan wali Allah ini, Allah telah berfirman:
“Ketahuilah bahawa sesungguhnya wali-wali Allah itu tidak akan berasa takut dan juga tidak akan berdukacita. Mereka ialah golongan yang beriman lagi bertakwa kepada Allah.” (Yunus 10:62-63)
Berhubung dengan ayat ini, Syaikh al-Alusi telah berkata:
“Secara umumnya jika seseorang itu beriman dan sentiasa bertakwa kepada Allah, kita boleh mengatakan, secara zahir, bahawa dia adalah seorang yang hampir kepada Allah, iaitu, seorang wali Allah. Namun kita tidak boleh meletakkan kedudukannya lebih tinggi daripada kedudukan Nabi dan Rasul. Juga tidak disyaratkan baginya untuk mendatangkan perkara-perkara pelik lagi luar biasa yang dinamakan sebagai karamah. Cukuplah bagi seseorang wali itu beristiqamah atau berterusan di dalam iman dan takwa sebagai karamah baginya.” (Said Hawa; Al-Asas fit Tafsir; jil. 5 hal. 2487)
Imam Abu Yazid al-Bustami telah berkata:
“Wali yang sebenarnya tidak memerlukan karamah-karamah yang luar biasa juga tidak mengharapkan untuk melakukan karamah-karamah yang luar biasa itu.” (Ibid)
Inikah Wali?
Jelas sekali bahawa kewalian seseorang tidak terletak kepada kepelikan yang mampu dilakukannya tetapi kepada ketakwaan yang menghiasi hatinya yang diterjemahkan di dalam bentuk amal ibadah yang berterusan. Justeru itu Imam Abu Yazid al-Bustami di dalam kesempatan yang lain telah berkata:
“Jika
kamu melihat seseorang telah diberikan kelebihan sehingga mampu terbang di
udara, janganlah kamu tertipu dengannya sehingga kamu dapat pastikan bahawa dia
telah melaksanakan perintah agama, meninggalkan larangannya, memelihara
batas-batasnya serta melaksanakan tuntutan syariat Allah.” (Imam
al-Qusyairi; Risalah Qusyairiyah hal. 14)
Walau bagaimanapun, memang ada dari kalangan wali-wali Allah yang telah diberikan karamah yang luar biasa oleh Allah. Namun apa yang penting ialah iman dan takwa dan bukannya kepelikan dan perbuatan yang luar biasa. Jika kepelikan dan kejadian yang luar biasa kita jadikan sebagai kayu pengukur kepada kebenaran dan kewalian seseorang, kita perlu sedar bahawa ramai juga dari kalangan orang-orang fasik dan kafir yang telah melakukan perkara-perkara yang luar biasa selama ini sedangkan mereka bergelumang dengan kesyirikan dan kekufuran.
Wassalam.
Dr. Danial
Copyright @ Dr. Danial Online, 2000-2001
Pulau Pinang, Malaysia.