Dari Cik Nurliza, Kedah.

Saya telah difahamkan oleh seorang guru di sekolah bahawa tasawwuf yang wujud pada hari ini adalah sesat lagi

batil. Benarkah begitu?

 

 

 

Jawapan:

 

Tasawwuf adalah satu ilmu yang menekankan tentang pembersihan jiwa dan kemuliaan akhlak, justeru itu ia dianggap sebagai salah satu ilmu fardu ain yang diwajibkan keatas setiap mukallaf. (Ihya Ulumuddin (1981); Pustaka Nasional; Jil. 1 hal. 98-99)

 

Selama mana ilmu ini diletakkan di atas dasar-dasar Al-Quran dan juga As-Sunnah, ia tidak boleh dianggap sebagai satu yang sesat atau batil. Menghukum sesuatu sebagai batil secara melulu tanpa berdasarkan ilmu adalah dilarang oleh agama. Imam ibn Sirin telah berkata:

 

“Seseorang yang mati di dalam keadaan jahil adalah lebih baik berbanding dengan seorang yang jahil tetapi berani mengeluarkan pendapat tanpa berasaskan ilmu.” (Dr. Yusof Qardawi,

Fiqhul Awlawiyyat; hal. 67)

 

Sahabat-sahabat Nabi yang bernama Abdullah ibn Masud dan Abdullah ibn Abbas pernah berkata:

 

“Sesiapa yang berani memberikan fatwa keatas sesuatu pertanyaan (tanpa ilmu), dia adalah orang yang tidak waras akalnya.”

(Dr. Yusuf Qardawi, Fiqhul Awlawiyat; hal. 68)

 

Tasawwuf yang sesat lagi batil ialah yang tidak berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah. Di antara kesesatan-kesesatan itu ialah fahaman ‘Wihdatul Wujud’ yang dipelopori oleh golongan syiah yang tertentu. Fahaman ini menetapkan bahawa Tuhan boleh bersatu dengan manusia. Fahaman ini amat bercanggah dengan aqidah Islam dan ditolak oleh kesemua ulama ahli sunnah wal jamaah termasuk dari kalangan ulama sufi. (Risalah Qusyairiyah; hal. 3)

 

Kesesatan yang lain ialah pemujaan yang melampau keatas guru-guru tasawwuf dan wali-wali Allah, sehinggakan ada dari kalangan mereka yang menyakini bahawa kedudukan wali-wali adalah lebih tinggi daripada Nabi-nabi. Di antara hujjah yang mereka gunakan untuk mengatakan bahawa wali adalah lebih tinggi daripada Nabi ialah:

 

“Nabi menerima ilmu dengan perantaraan malaikat sedangkan wali menerimanya secara langsung daripada Allah.”

(Hamka (1984); Tafsir Al-Azhar; juz 11 hal. 284)

 

Kesesatan juga boleh wujud di dalam bentuk melakukan tokok-tambah ataupun bidah di dalam amalan tanpa berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah. Sebagai contoh, bertawassul di dalam bentuk meminta sesuatu kepada orang yang sudah mati, umpamanya, ketika menziarahi makam Syeikh Syazali, seseorang itu akan berkata: “Wahai Syeikh Syazali, berilah kepada kami anak, curahkanlah rezeki kepada kami dan sembuhkanlah penyakit yang menimpa kami!” Amalan di dalam bentuk ini adalah amalan yang bidah lagi sesat. (KH Sirajuddin Abbas; 40 Masalah Agama, siri 4 hal. 161)

 

Justeru itu hendaklah kita berilmu agar kita mampu bezakan di antara tasawwuf yang hak dengan yang batil. Kita juga perlu berilmu agar kita tidak mudah menghukumkan sesuatu itu sesat sedangkan ia sebenarnya berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah.

 

 

Ilmu penting untuk bezakan di antara tasawwuf yang hak dan yang batil

 

Wassalam.

 

Dr. Danial

 


 

 

Copyright @ Dr. Danial Online, 2000-2001

Pulau Pinang, Malaysia.